5 maut dalam keganasan baharu di Manipur, India

Lima orang maut dalam keganasan etnik baharu di negeri Manipur, India, menurut pihak berkuasa, berita Anadolu melaporkan.

Keganasan baharu ini berlaku dalam dua insiden berasingan di kawasan Kangpokpi dan Noney di negeri itu, lapor Anadolu memetik pihak berkuasa dan media tempatan.

Polis Manipur dilapor berkata dalam kenyataan bahawa dua orang dilaporkan hilang dari kampung Taphou Kuki di pekan Kangpokpi pada 28 Oktober dan pada Ahad, semasa operasi mencari dijalankan, pasukan gabungan menemui dua mayat.

Pada Isnin, berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di daerah Kangpokpi, Manipur. Anggota keselamatan terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan baton untuk menyuraikan peserta demonstrasi yang mengadakan protes sejak Ahad, lapor Anadolu memetik Press Trust of India.

Dalam satu insiden berasingan, dilaporkan tiga lelaki maut dalam kejadian berbalas tembak di kampung Kekru Naga, daerah Noney.

Manipur mempunyai sejarah keganasan antara kaum dan etnik, insiden terbaharu berlaku pada 2023 membabitkan komuniti Meitei dan Kuki, lapor Anadolu, pertembungan itu mengorbankan lebih 250 orang dan menjejaskan ribuan yang lain.