Sekurang-kurangnya 7 maut di bot migran menuju Kepulauan Canary

Sekurang-kurangnya tujuh orang maut di atas sebuah bot migran yang dalam perjalanan ke Kepulauan Canary, Sepanyol, menurut berita Anadolu memetik laporan agensi berita Sepanyol EFE pada Isnin, memetik perkhidmatan menyelamat maritim negara itu.

Pasukan penyelamat dilapor tiba di bot terbabit pada awal pagi Isnin, kira-kira 150 kilometer (93 batu) di timur laut Arrecife, ibu kota Lanzarote — terdapat hampir 140 orang di atas bot itu.

Dilaporkan dua mayat masih berada di atas bot terbabit — mereka yang terselamat berkata lima mayat lain telah dicampakkan ke dalam Lautan Atlantik semasa pelayaran itu.

Tiga bot lain yang membawa seramai 132 orang telah tiba di Arrecife pada awal pagi Isnin, menurut berita Anadolu memetik laporan penyiar Cadena SER, memetik pusat penyelarasan kecemasan Kepulauan Canary.

Ketibaan melalui laut di Kepulauan Canary meningkat sebanyak 285% pada Oktober berbanding bulan yang sama tahun lalu, lapor Anadolu memetik Cadena SER, memetik kerajaan wilayah.

Walau bagaimanapun, bagi tempoh yang lebih panjang dari 1 Januari hingga 15 Oktober, jumlah ketibaan mencatatkan penurunan sebanyak 33.5% berbanding tahun sebelumnya. Kementerian Dalam Negeri Sepanyol merekodkan seramai 8,970 orang tiba melalui laut di Kepulauan Canary dalam tempoh itu, berbanding 13,491 orang pada tahun sebelumnya.